KUALA TERENGGANU: Selama hampir setahun memegang tampuk pemerintahan negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walau berdepan dengan detik sukar seperti penularan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi, namun kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, setakat ini telah melakukan tugas mereka dengan baik.

"Kita (PN) mengambil kerajaan di peringkat pusat dari kedudukan yang sukar, termasuk keadaan ekonomi pun sebelum ini sukar, banyak perkara-perkara terpaksa dibatalkan dan sebagainya.

"Dalam masa yang sama kita berdepan dengan pandemik, jadi saya rasa dalam tempoh setahun ini kerajaan Perikatan Nasional di peringkat pusat telah melakukan yang terbaik, termasuk berjaya mengeluarkan Malaysia daripada suasana yang tidak harmoni, iaitu sekitar tahun 2018 dan 2019," katanya.

Beliau berkata demiian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Program Imunisasi Vaksin COVID-19 peringkat negeri, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai dakwaan UMNO ingin 'merampas' semula Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata masih terdapat ruang perbincangan untuk kedua-dua pemimpin parti, menyelesaikan isu tersebut.

"Itu biasalah semua orang ada hasrat masing-masing. Pada saya, kita masih lagi boleh runding dan bincang, sama ada di peringkat negeri atau pusat, jadi proses itu belum lagi berakhir," katanya.

-- BERNAMA