Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Datuk Dr. Hasan Ali mengumumkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 ini sebaliknya akan berkempen membantu Barisan Nasional.

Katanya, beliau lebih selesa bersama dengan badan bukan kerajaan Jalur Tiga (Jati) yang ditubuhkannya untuk membela agama Islam, orang Melayu dan institusi raja.

Jelas Hasan, orang Melayu dan agama Islam memerlukan sebuah NGO yang kuat untuk menghadapi cabaran semasa yang semakin getir dalam mengagungkan Islam dan memartabatkan Melayu.

"Saya dan teman-teman di Jati telah membuat ikrar untuk terus berjihad untuk tidak melihat dan Melayu diinjak-injak di bumi bertuah ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambah Hasan, Jati bersama NGO Islam yang lain akan menggerakkan kempen bagi menentukan BN terus berkuasa termasuk merampas semula beberapa negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Hasan menubuhkan Jati selepas dipecat oleh Pas pada awal tahun lalu kerana tindakan-tindakannya yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti Islam itu.

Hasan sebelum itu lantang mengkritik dasar dan keputusan Pas termasuk kemuncaknya apabila beliau menolak perhimpunan yang dianjurkan pada hari keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebulan sebelum pemecatannya.

Hasan mengeluarkan kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan daripada banyak pihak mengenai penyertaannya dalam PRU-13 ini.

Katanya, beliau ada menerima tawaran untuk bertanding dan menghargai harapan dan kepercayaan pimpinan UMNO dan BN kepadanya.

Namun setelah berbincang dengan pelbagai pihak dan mengambil kira penyertaannya dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini, Hasan berkata, beliau memutuskan untuk tidak bertanding kali ini.