GEORGE TOWN: Sebanyak 54 kluster penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Pulau Pinang tahun ini melibatkan taska, tadika, pusat jagaan harian dan pra sekolah berbanding hanya tujuh kluster dilaporkan pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, sehingga minggu Epid (ME) ke-18, terdapat peningkatan sebanyak 6.7 kali ganda menyebabkan 54 premis terlibat terpaksa ditutup sementara baru-baru ini bagi mencegah penyakit berkenaan daripada merebak.

Bagaimanapun, kesemua premis itu sudah beroperasi seperti biasa dengan yang terakhirnya dibuka semula pada 3 Mei lalu.

Menurut beliau, penutupan premis itu terdiri daripada taska (30.56 peratus), tadika (20.37 peratus), peratus pusat jagaan harian (3.6 peratus) dan pra sekolah (1.2 peratus).

Mengulas lanjut, Norlela berkata, sehingga minggu Epid ke-18 sebanyak 959 kes dilaporkan berbanding 102 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 8.4 kali ganda.

Jelasnya, daerah Barat Daya merekodkan kes HFMD tertinggi iaitu 300 kes, diikuti Seberang Perai Utara (251), Timur Laut (216), Seberang Perai Tengah (122) dan Seberang Perai Selatan (70).

Dr Norlela berkata, penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska, tabika, tadika, pusat jagaan dan pra sekolah.

“Setakat ini, tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit HFMD. Oleh itu, pencegahan adalah amat penting.

“Orang ramai terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil perlu mengambil langkah berjaga-jaga  untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Selain itu, beliau juga menasihatkan mereka yang terlibat dengan institusi penjagaan kanak-kanak agar sentiasa mengekalkan kebersihan di pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah dan persekitarannya.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71, yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Antara gejalanya ialah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki, serta ulser pada mulut serta lidah.