Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyokong penuh saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan semula demi keselamatan negara.

Ibrahim berkata ISA merupakan akta paling relevan untuk mencegah jenayah berat yang semakin meningkat dewasa ini.

Katanya, demi demokrasi terus subur dalam negara majmuk, akta seperti ISA perlu dikekalkan untuk menjamin keselamatan negara.

"Bila berlaku tragedi buruk seperti 13 Mei 1969, negara di isytihar darurat dan demokrasi mati.

"Demi demokrasi hidup dalam negara majmuk, maka akta ISA wajib dikekalkan untuk menjamin keselamatan negara dan demokrasi terus subur," katanya daam satu kenyataan menerusi SMS.

Biarpun menyedari tindakan menyokong saranan Dr Mahathir itu membuatkan beliau tidak popular, namun Ibrahim menegaskan meletak kepentingan negara lebih penting dari populariti diri.

"Walaupun saya ahli politik, perlu mencari populariti, namun saya mengambil sikap, biarpun tidak popular dan dihentam begitu kuat sekali oleh pihak tertentu saya tidak peduli.

"Ini yang dikatakan meletakan kepentingan negara lebih dari kepentingan populariti diri," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya kuasa menahan tanpa bicara diletakkan dibawah Jawatankuasa Khas Keselamatan Negara bukan dibawah kuasa Menteri.

Katanya jawatankuasa tersebut boleh dilantik dari kalangan bekas hakim, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan tokoh lain yang difikirkan wajar.

Ibrahim menegaskan dengan meletakan kuasa menahan tanpa bicara dibawah Jawatankuasa Khas Keselamatan Negara, tidak akan timbul tuduhan menteri menyalahgunakan kuasa.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Dr Mahathir berkata ISA harus dikembalikan semula dalam usaha mencegah kegiatan jenayah berat di negara ini kerana akta tersebut dianggap undang-undang paling relevan bagi menangani dan mencegah jenayah berat di negara ini.