KOTA TINGGI: Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 71 Jalan Johor Bahru-Mersing semalam.
Mangsa maut dikenali sebagai Rubita Mohamad, 51, dan juga anaknya Nur Insyirah Syakirah Kamilin, 14.
Advertisement
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.15 petang melibatkan kereta Proton Persona dinaiki sebuah keluarga dan sebuah Perodua Bezza.
Menurutnya, Proton Persona dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun bersama dua orang penumpang berusia 51 tahun dan 14 tahun, manakala Perodua Bezza dipandu oleh warga tempatan berusia 27 tahun.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Pesona masuk laluan bertentangan lalu bertembung Perodua Bezza.
"Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penumpang Proton Persona telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Manakala pemandu kereta tersebut pula mengalami kecederaan parah dan dirujuk ke unit rawatan rapi Hospital Sultan Ismail bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu Perodua Bezza tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan masih dalam siasatan pihak polis.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh tampil menyalurkan maklumat di bahagian trafik IPD Kota Tinggi bagi membantu siasatan," katanya lagi. - Sinar Harian