Kerajaan menggesa penjaga terutamanya ibu bapa, mengikis perasaan malu dan mendaftarkan orang kurang upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ia bagi membolehkan kerajaan menyalurkan 25 kemudahan dan insentif kepada OKU berdaftar seperti yang terdapat dalam dasar Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, setakat Mac 2013, negara hanya mempunyai 458 ribu OKU yang berdaftar, tetapi mengikut unjuran yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 10 peratus daripada populasi setiap negara adalah golongan OKU.

“Jika Malaysia mempunyai 28 juta penduduk, sekitar 2.3 juta orang OKU tidak berdaftar dengan JKM."

Rohani berkata ibu bapa yang malu untuk mengakui anak atau ahli keluarga tidak sempurna, menafikan hak individu tersebut untuk menikmati insentif dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada golongan tersebut.

Pendaftaran OKU penting untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di negara ini untuk proses merancang program berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi, latihan serta perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Antara kemudahan dan keistimewaan OKU yang berdaftar adalah seperti berikut bantuan Alat Tiruan atau alat sokongan yang bertujuan membantu OKU yang tidak berkemampuan untuk membeli seperti kaki palsu dan tangan palsu dan Geran Pelancaran (GP) yang bertujuan memberi bantuan kewangan kepada kumpulan sasar Jabatan yang mempunyai minat dan potensi untuk maju.

Selain itu, bantuan elaun pekerja cacat, bantuan OKU tidak bekerja dan bantuan penjagaan OKU terlantar atau pesakit kronik terlantar.

Menurut Rohani, pendaftaran OKU boleh dibuat secara sukarela di seluruh negara di pejabat atau cawangan JKM dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang terdekat.
Pihaknya juga merancang untuk mengadakan jelajah ke seluruh negara agar lebih ramai golongan istimewa ini didaftarkan.

"Kita merancang untuk mengadakan siri jelajah dan akan bahagikan Malaysia kepada 6 zon untuk pertemuan secara terus menerusi soal jawab dan di situ kita berharap ibu bapa yg malu tidak lagi merendah diri dan menyorok kerana mempunyai anak kelainan upaya.

Jika tidak, kita telah menidakkan hak mereka untuk mendapatkan kemudahan yang mereka sepatutnya mereka dapat,” katanya.