GENTING HIGHLANDS: Perkembangan pesat industri taman tema dan pusat hiburan keluarga akan menjadi hab penting kepada pelancongan Malaysia kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Beliau berkata kerjasama dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dan Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA) akan mengembangkan lagi industri itu dan menarik lebih ramai pelancong dan pelabur.

"Industri ini semestinya menjadi hab utama untuk produk kita kerana paling penting setiap negara memerlukan produk baharu dan inovatif supaya pelancong dapat melihat Malaysia menghidangkan pelbagai produk yang sentiasa bertukar dari tahun ke tahun," katanya.

Khairul Firdaus berkata demikian kepada media selepas merasmikan anugerah berprestij MATFA Golden Horses Award 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapa berkata taman tema antara tarikan utama di pasaran antarabangsa seperti India, China, Filipina dan Australia.

"Ini merupakan satu daripada contoh kepelbagaian taman tema seperti dalaman, luar, alam semula jadi dan ekopelancongan, ini dapat menarik minat lebih ramai pelancong untuk datang ke Malaysia kerana pilihan yang diberikan," katanya.

Beliau juga berkata Tourism Malaysia akan memanfaatkan industri taman tema dan pusat hiburan keluarga sebagai satu daripada promosi mereka kepada pelancong untuk melawat Malaysia.

Anugerah Golden Horse Awards MATFA diwujudkan untuk menggalakkan kecemerlangan dan merangsang persaingan positif, mempamerkan pencapaian yang dicapai oleh ahli perniagaan yang cemerlang atas peranan dan sumbangan mereka kepada ekonomi Malaysia.

Ia juga untuk mengiktiraf perniagaan dalam industri taman tema dan pusat hiburan keluarga dan sumbangan mereka kepada ekonomi Malaysia.

Sebanyak 48 anugerah di bawah 15 kategori ditawarkan sebagai tanda pengiktirafan dan penanda aras prestasi teladan bagi industri taman tema dan pusat hiburan keluarga dalam kalangan usahawan tempatan dan serantau.

Taman Tema Genting Skyworld merangkul beberapa anugerah dalam kategori seperti anugerah taman tema tahun ini dan pengalaman festival terbaik, manakala SplashMania Waterpark Gamuda Cove yang baru dibuka juga berjaya merangkul beberapa anugerah seperti anugerah taman air tahun ini dan anugerah tarikan air baru terbaik.

Selain itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Genting Group Tan Sri Lim Kok Thay menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat dalam kategori individu sebagai simbol penghargaan atas sumbangan beliau kepada industri, ekonomi dan negara.

-- BERNAMA