KUALA LUMPUR : Lebih 67 peratus daripada 58 individu yang ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam adalah melibatkan pengunjung pusat hiburan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, empat direman sementara selebihnya dikompaun.

"Aktiviti pusat hiburan mencatat jumlah pesalah tertinggi dengan 39 orang.

"Kita harap jumlah itu akan menjadi sifar selepas kerajaan memutuskan mengenakan kompaun maksimum untuk kesalahan itu," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, antara kesalahan lain adalah melibatkan gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri pelanggan (11), tidak memakai pelitup muka (empat), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (tiga) dan satu untuk lain-lain kesalahan.

Dalam pada itu katanya, seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap menerusi Op Benteng dengan dua buah kenderaan darat dan sebuah bot dirampas.

Dalam operasi yang sama katanya, pihak penguat kuasa turut mengesan 42 buah bot dan kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.

Selain itu katanya, sebanyak 58 operasi sanitasi awam dilaksanakan di seluruh negara, pada Rabu yang merangkumi 12 Zon Merah, tujuh Zon Jingga, 16 Zon Kuning dan dua Zon Hijau.

Beliau memberitahu, seramai 738 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan kesemuanya mereka diarah menjalani kuarantin wajib.

"Mulai 24 Julai 2020 sehingga semalam, seramai 147,578 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan daripada jumlah itu, seramai 6,917 sedang menjalani kuarantin wajib di 76 hotel dan 12 premis lain," katanya.

Bagi saringan COVID-19 pekerja warga asing pula, Ismail Sabri berkata seramai 3,820 warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 106 didapati positif, semalam.

Ismail Sabri turut memberitahu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 630,830 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 membabitkan 32,611 majikan.

"Daripada jumlah ini, seramai 9,913 disahkan positif manakala 620,917 lagi adalah negatif," kata beliau.