Kes positif COVID-19 di Malaysia merekodkan 82 kes setakat jam 12.00 tengah hari pada Sabtu, 26 September 2020 dengan 89 pesakit dibenarkan discaj pada tempoh sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, daripada 82 kes direkodkan pada hari ini, 79 kes merupakan penularan tempatan dan hanya tiga kes import.

Berikut adalah lima fokus utama dalam kenyataan media Dr Noor Hisham pada Sabtu, 26 September 2020:

1. Sehingga 26 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 82 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,769 kes.

2. Daripada 82 kes direkodkan pada hari ini, 79 kes merupakan penularan tempatan dan hanya tiga kes import.

3. Terdapat 89 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,785 kes.

4. Tiada kes kematian direkodkan pada hari ini, menjadikan jumlah kes kematian kekal 133 kes.

5. Bermula 27 September hingga 10 Oktober 2020, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan COVID-19 dan diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).