Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa mensasarkan 1,000 orang menjadi ahli INTEGRITI menjelang akhir tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi INTEGRITI berkata sasaran berkenaan adalah berbanding 100 ahli sedia ada ketika ini.

Tambahnya, INTEGRITI ingin lebih banyak penyertaan daripada pelbagai pihak, termasuk swasta, untuk mencapai sasaran tersebut.

Beliau membuat kenyataan tersebut selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-13 di Institut Integriti Malaysia di sini, pada Selasa.

Dalam majlis sama, INTEGRITI mengumumkan pelantikan tiga Ahli Lembaga Pengarah baharu. Ini termasuk Ketua Pesuruhjaya, Dr Dzulkifli Ahmad; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman; dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Mereka menggantikan ahli Lembaga Pengarah lama termasuk bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kasim; bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Ali Hamsa dalam pada itu juga mahu jumlah ahli lembaga pengarah ditingkatkan kepada 17 orang berbanding 11 ketika ini.