Mulai tahun depan, universiti swasta, kolej universiti dan kampus cawangan universiti luar negara diwajibkan membayar yuran perlindungan penuntut berjumlah RM100,000.

Ia sebagai jaminan kepada penuntut sekiranya institusi pengajian tinggi berkenaan berdepan dengan masalah.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan untuk tujuan itu kolej swasta juga dikehendaki membayar RM10,000.

Beliau berkata IPTS perlu membayar jumlah yang ditetapkan untuk memastikan penuntut mendapat bayaran balik jika institusi berkenaan ditutup secara tiba-tiba.

Ia bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di tempat lain sekaligus melindungi penuntut daripada institusi yang tidak bertanggungjawab.

Jelas Mohamed Khaled, yuran perlindungan itu perlu dibayar setiap lima tahun sekali ketika proses memperbaharui lesen IPTS.

Tahun ini sebanyak 33 IPTS dipertimbangan untuk ditutup atas pelbagai sebab dan ia akan memberikan kesan kepada pelajar IPTS berkenaan.