Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertegas isu air yang melanda negeri itu bukan bermaksud bekalan air terawat mengalami masalah, sebaliknya gangguan itu datang daripada kegagalan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor (Splash) Sdn Bhd menjalankan penyenggaraan terhadap aset mereka.

Kata Menteri Besar Selangor itu, adalah tidak adil untuk segelintir pihak mempolitikkan masalah itu dan meletakkannya ke atas bahu Kerajaan Negeri memandangkan mereka tidak mempunyai hak untuk menyelenggara aset Splash.

"Kalau bukan rumah kita, kalau bukan aset kita, macam mana kita nak bertindak membuat penyenggaraan?

"Itu pun bila kita lihat tahap pengeluaran pada awal tahun ini telah menurun, itu mencetuskan Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) untuk memantau apakah punca kejatuhan itu.

"Namun, kita tidak boleh masuk sebab ini kemudahan Splash, maka kita minta kebenaran SPAN (Suruhanjaya Pengurusan Air Nasional) untuk lakukan siasatan," katanya kepada pemberita selepas menandatangani Perjanjian Sempadan Selangor-Pahang bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaacob di Shah Alam, pada Jumaat.

BACA: Beberapa kawasan di Lembah Klang terjejas bekalan air

BACA: Rakyat Selangor muak dengan masalah bekalan air

Susulan siasatan SPAN, Azmin berkata pihak Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa pihak Splash mengalami kesulitan untuk menyenggara aset mereka, tambahan pula terdapat garis panduan oleh kementerian bahawa tiada penyenggaraan boleh dilakukan pada seminggu sebelum dan seminggu selepas sebarang festival raya, termasuk Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

"Ini soal kemalangan. Di mana apabila Splash berjaya baiki kerosakan pam, sebaik sahaja mereka nak memulakan operasi, berlaku letupan yang mencederakan lima pekerja. Ini soal kemalangan.

"Malahan, Kerajaan Negeri yang mengesyorkan dua kontraktor berpengalaman melakukan kerja-kerja (membaik pulih) ini. Kita terpaksa melantik lebih dari satu kontraktor sebab kita nak kerja-kerja itu dipendekkan dan disegerakan sebab kita tak mahu rakyat Selangor terbeban dengan masalah air," katanya lagi.

Mohamed Azmin turut menegaskan tuduhan bahawa Kerajaan Negeri tidak mampu menguruskan air adalah tidak berasas sama sekali kerana Selangor mempunyai simpanan air terawat yang mencukupi.

Katanya lagi, sepanjang beliau menjadi Menteri Besar, tidak pernah terjadi catuan air akibat masalah bekalan air terawat.