KUALA LUMPUR: Isu gaji bermaruah merupakan fokus Kerajaan Perpaduan dalam memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat terus terbela di negara ini.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan untuk mencapai fokus itu, sesebuah Kerajaan perlu stabil dari segi politik, ekonomi dan sosial.

"Kita sudah pun letih, rakyat pun sudah letih berhadapan ketidakstabilan politik yang menyaksikan Pilihan Raya ke-15 tiga Kerajaan bersilih ganti, tiga Perdana Menteri bersilih ganti yang akhirnya memangsakan rakyat.

"Ekonomi terus merundum, pelabur terus meminggirkan diri mereka di negara ini. Sebab itu mahu tak mahu, we have to put a stop ataupun istilah yang digunakan Datuk Seri Anwar untuk menoktahkan segala ketidakstabilan, segala gugatan yang hanya boleh mencairkan asas-asas yang kita bina bersama sejak kita merdeka," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Agenda AWANI pada Rabu yang turut menampilkan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan bukan sekadar 'Marriage of Convenience' sebaliknya langkah tepat dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menoktahkan ketidakstabilan politik.

Ini termasuk isu gaji setimpal dengan peluang kerja yang menjadi antara fokus penting di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 dalam memastikan kebajikan dan keselsaan rakyat di negara ini terus terbela.

Setiausaha Agung UMNO itu turut menegaskan bagi menyelamatkan kestabilan negara, semua pihak perlu berhenti atau menoktahkan segala kekusutan atau gugatan khususnya politik.