KUALA LUMPUR: Isu hangat membabitkan isu pembelian Kapal Tempur Pesisir (LCS) nampaknya belum lagi reda apabila protes mengenainya terus kedengaran.

Hari ini kritikan terhadap isu tersebut dilaungkan menerusi protes yang diadakan di hadapan pasar raya Sogo di ibu negara, oleh kumpulan yang dianggotai oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), dan juga beberapa ahli politik yang lain termasuk dari DAP.

Turut hadir Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan juga Adun Pasir Pinji, Perak Howard Lee Chuan How selain peguam dan juga aktivis Siti Kassim.

Protes yang turut dikawal ketat oleh pihak polis itu bermula kira-kira jam 2 petang dengan menuntut agar beberapa individu terlibat diambil tindakan segera dan ditangkap.

Antara yang dituntut diambil tindakan termasuklah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; dan juga Menteri Pertahanan ketika ini Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Malah kumpulan tersebut turut menuntut agar Hishammuddin segera meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Pertahanan.

Syed Saddiq, ketika ditanya selepas protes berkenaan mendakwa, kerajaan sehingga kini sebenarnya masih tidak berlaku telus dalam kes pembelian LCS dan cuba mengelak beberapa persoalan yang ditimbulkan.

“Surat-surat daripada Panglima Angkatan Tentera, proses sub-kontrak yang ada tiga lapisan naik kos 300 peratus, pekerja-pekerja yang telah lama dibuang sejak 2017 lagi, dan jerung-jerung besar yang dah ada meninggalkan negara pun.

“Ini perkara-perkara yang wajib dijawab dan jangan berselindung di sebalik syarikat kerajaan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS). Jangan sesekali lakukan perkara itu,” katanya kepada media.

Malah jelasnya, adalah tidak masuk akal pihak SPRM mengambil masa begitu lama untuk menyiasat perkara tersebut, sedangkan sudah banyak laporan yang telah dibuat sebelum ini.

BACA: Kertas siasatan LCS lengkap, saran Jabatan Peguam Negara tuduh beberapa individu - SPRM

BACA: Projek LCS: Pemimpin bersih UMNO bakal 'dihukum' dalam PRU15 

BACA: Perkakasan dalam gudang LCS belum usang, masih boleh diguna 25 tahun lagi - BNS

BACA: "LCS bukan projek halimunan, tidak dibuat dari kayu" - BNS tunjuk bukti kemajuan pembinaan

Protes tersebut berakhir kira-kira jam 3.15 petang dalam keadaan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini. 

Syed Saddiq dakwa kerajaan masih belum telus sepenuhnya isu pembelian kapal LCS

Semalam, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengadakan sesi taklimat bersama media ketika melawat tapak pembinaan LCS di Lumut, Perak.

Beberapa hari lalu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan isu pembelian kapal berkenaan.

Kerajaan juga, jelasnya, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu LCS dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapapun yang terbabit.

Isu pembelian kapal tempur (LCS) kembali menjadi topik hangat apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya berhubung projek itu memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007.

Kontrak projek LCS didakwa diberikan secara rundingan terus kepada BNS, dan kerajaan telah setakat ini telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek tersebut.