MALAYSIA
"Itu jalan pertama dan terakhir" - Abang reda pemergian adik sekeluarga

Lima mangsa menaiki Perodua Bezza dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung dengan Toyota Alphard tengah malam tadi. - Gambar/ Bernama
IPOH: "Itulah jalan pertama dan terakhir akan dilaluinya," demikian luahan pilu Muhammad Ridzuan Ishak, 33, abang kepada seorang daripada lima mangsa yang maut dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, Pahang, tengah malam tadi.
Ringkasan AI
- Muhammad Ridzuan Ishak meluahkan kesedihan atas kehilangan adiknya, Muhammad Ikmal, yang maut bersama isteri dan tiga adik ipar dalam kemalangan tragis di Jalan Jerantut-Maran, Pahang.
- Ikmal sempat memuat naik status WhatsApp menyentuh hati sebelum kejadian, menyatakan itu adalah 'jalan pertama dan terakhir' yang dilaluinya, yang kini dianggap sebagai petanda terakhir.
- Lima mangsa menaiki Perodua Bezza dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung dengan Toyota Alphard sekitar tengah malam; jenazah akan dikebumikan di Bota, Perak atas permintaan keluarga mentua.
"Arwah memang periang dan sangat disenangi keluarga. Malam kejadian, saya sempat lihat status WhatsApp yang dimuat naiknya kira-kira 10 malam... dia kata itu jalan pertama dan terakhir buatnya. Tak sangka itu petanda," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Menurutnya, dia menerima berita menyayat hati itu kira-kira 1.30 pagi melalui panggilan telefon daripada abang kepada isteri adiknya.
"Pada mulanya saya tidak percaya, namun selepas dimaklumkan secara terperinci, saya tergamam dan tidak mampu berkata apa-apa.
"Pada asalnya, keluarga bercadang mengebumikan jenazah di Tambun, tetapi keluarga mentua arwah memohon supaya dikebumikan di Bota (Perak)," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Zukri Muhammad mengesahkan kejadian membabitkan sebuah Perodua Bezza dan Toyota Alphard berlaku sekitar 12 tengah malam.
Katanya semua lima mangsa menaiki Perodua Bezza dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mereka ialah Muhammad Ikmal; isterinya, Nur Arfiqah; serta adik iparnya, Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19; dan Nurul Hazwani, 17.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami