Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail enggan memberi komen dan meminta media mendapatkan sendiri respons daripada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung ura-ura beliau akan menyertai parti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Jelasnya, apa yang diketahui ketika ini hanyalah ura-ura sahaja.

"Itu kena tanya dia (Azmin Ali), kita baca ura-ura sahaja," kata Dr Wan Azizah ketika ditemui media di Majlis Pelancaran Program Saringan Serviks Percuma di Ampang Jaya, Selangor pada Ahad.


Portal berita Utusan Malaysia pada Rabu mendakwa Mohamed Azmin dijangka mengambil langkah berkenaan berikutan pergeseran beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyebaran video aksi intim yang dikaitkan dengan menteri Kabinet itu.

BACA: Selepas Bersatu, Azmin didakwa akan sertai Gerakan pula

Namun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menafikan perkara itu menyatakan desas-desus Ahli Parlimen Gombak itu keluar PKR untuk menyertai Gerakan adalah tidak benar.

BACA: Domo arigato, Anwar minta semua pihak 'move on'


Walau bagaimanapun, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau mengakui terdapat pemimpin PKR menemuinya untuk berbincang tentang penyertaan Mohamed Azmin ke dalam parti pimpinan beliau.

BACA: Memang ada pemimpin PKR datang bincang - Presiden Gerakan

Isu Mohamed Azmin keluar parti bukan baharu. Sebelum ini juga pernah tersebar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kononnya menteri itu keluar menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama 10 lagi pemimpin PKR.

Namun, ia dinafikan setiausaha politiknya Hilman Idham dan menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah yang dilakukan oleh mereka yang kalah.

BACA: Fitnah Azmin akan keluar PKR kerja mereka yang kalah - Hilman

BACA: Azmin tidak akan beralih arah - Shamsul Iskandar