SHAH ALAM:Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan Program Selangor Berselawat yang bersiaran langsung dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Rabu hadapan sempena sambutan Maulidur Rasul 1442 Hijrah peringkat negeri.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata program itu akan diadakan serentak di seluruh masjid dan surau di Selangor melalui laman sosial Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Beliau berkata hanya pentadbir masjid dan surau dengan jumlah terhad iaitu 23 jemaah masjid dan 16 jemaah surau dibenarkan di satu-satunya Zon Hijau di Selangor iaitu di Sabak Bernam, manakala di Zon Kuning dan Merah pula masing-masing enam orang jemaah sahaja dibenarkan.

"Semua umat Islam di kediaman masing-masing diminta melaksanakan Solat Maghrib tepat pada waktu diikuti dengan Solat Hajat bersama jemaah dan ahli keluarga.

"Pada 7.30 malam, bacaan selawat dan munajat akan dimulakan dengan pimpinan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya dan diteruskan dengan ceramah agama khas sempena Maulidur Rasul," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mohd Shahzihan, umat Islam di Selangor juga boleh mengikuti dan menghayati ceramah khas Maulidur Rasul secara langsung melalui Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di www.facebook.com/masjidssaas.

Katanya, teks selawat dan munajat turut disediakan dan boleh dimuat turun di portal rasmi JAIS iaitu www.jais.gov.my atau e-masjid.jais.gov.my.

Beliau berharap program berkenaan dapat menyemai rasa cinta berterusan kepada Nabi Muhammad serta mengundang rahmat dan pertolongan Allah dengan mengangkat musibah wabak COVID-19 yang sedang melanda negara

-- BERNAMA