Selepas hujan lebat tanpa henti selama beberapa jam, jambatan di Parit Markom, di sini yang menghubungkan tiga kampung berhampiran runtuh hari ini.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian pukul 10.45 pagi itu.

Jambatan tersebut digunakan kira-kira 800 penduduk.

Penduduk terpaksa menggunakan laluan lebih jauh iaitu Jalan Parit Makasar untuk menghantar anak ke sekolah serta ke masjid.

Sementara itu Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata struktur jambatan yang dibina sewaktu Rancangan Johor Barat perlu diperiksa dan diteliti bagi memastikan tahap keselamatannya.

Lebih 200 jambatan dibina di seluruh Johor menerusi rancangan itu sudah berusia hampir 38 tahun.

Ahmad Maslan berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu membuat pemeriksaan kerana ini adalah kejadian kedua melibatkan jambatan di daerah itu runtuh selepas hujan lebat.

Katanya kejadian pertama pada Januari lalu dimana sebatang jambatan di Kampung Sepah Beruang, Benut runtuh juga akibat hujan lebat.

"Jambatan-jambatan ini berusia 30 tahun dan ke atas. Terutama jambatan Projek Johor Barat. Ia hendaklah diperiksa oleh JKR sama ada ketahanan strukturnya kukuh atau tidak lagi, jika tidak kukuh maka hendaklah diambil tindakan segera,” katanya ketika membuat tinjauan jambatan runtuh di Parit Makasar di sini hari ini.

Beliau berkata akan membuat laporan segera kepada Unit Penyelarasan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri bagi meminta peruntukan pembinaan jambatan baru dengan kadar segera.

Beliau mengganggarkan kos pembinaan jambatan baharu itu kira-kira RM1.5 juta.