SHAH ALAM: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar yang mengeluarkan kenyataan kepadanya supaya mengelak atau tidak memulakan serangan terhadap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Dr Muhamad Akmal berkata, sedangkan setiap perkara yang salah perlu diperbetulkan.

"Jangan jadi seperti lembu dicucuk hidung yang ikut sahaja walaupun tahu perkara itu salah.

"Kalau perkara itu betul, kita wajib kata betul, kalau salah kita kena perbetulkan. Siapa makan cili,dia rasa pedas," katanya menerusi laman Facebook.

Pada Ahad, Haziq berpendapat kenyataan yang dibuat oleh Dr Muhamad Akmal boleh mengeruhkan hubungan dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mencadangkan supaya Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu terus fokus kepada usaha memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan.

Katanya, tindakan sedemikian akan menjadikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu sebagai pemain pasukan yang baik dan mengendurkan persengketaan antara satu sama lain. - Sinar Harian