KUALA LUMPUR: Pelbagai pendekatan dan peringatan dilaksanakan, baik oleh pihak berkuasa ataupun institusi perbankan, namun jenayah penipuan kewangan dalam talian di negara ini masih menunjukkan trend peningkatan.
Mangsa pula daripada segenap lapisan masyarakat termasuk golongan profesional dan ahli perniagaan berjaya. Semuanya tidak terlepas daripada diperdaya, sama ada dikatakan terbabit dalam kegiatan haram ataupun digoda dengan pelaburan yang kononnya membawa pulangan lumayan.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, kes jenayah penipuan kewangan meningkat sebanyak 37 peratus kepada 32,366 kes dalam tempoh Januari hingga November tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas yang merekodkan 23,608 kes.
Polis percaya angka sebenar mangsa dan jumlah kerugian adalah lebih besar kerana ramai yang didapati tidak tampil melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa atas pelbagai faktor, termasuk berasa malu kerana melibatkan status sosial dan kerjaya mereka.
Hal ini disokong oleh kaji selidik firma penyelidikan pasaran Ipsos Malaysia yang pada 19 Dis lalu mendedahkan tidak sampai 50 peratus mangsa penipuan di negara ini mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa, dengan sebahagian kecil pula memilih berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan.
Hakikatnya, jenayah itu bukan sahaja memberikan impak kepada mangsa tetapi turut meninggalkan kesan ke atas negara, yang menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, jenayah tersebut, secara terancang, boleh menyebabkan negara mengalami kerugian kewangan.
Mengambil kira situasi semasa, pakar berpandangan akta yang berkaitan perlu dipinda, khususnya dari segi hukuman, kerana kata mereka, setakat ini belum ada usaha bersungguh ke arah itu.
Pada masa sama, mereka juga menggesa agar usaha meningkatkan kesedaran masyarakat diperhebat.
Kurang pengetahuan
Menurut Ts Syahrul Nizam Junaini, pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak, kebanyakan pengguna siber kurang pengetahuan dalam mengenal pasti laman sesawang yang sahih dan palsu, sekali gus merisikokan mereka kepada penipuan.
"Satu kajian sebelum ini mendapati 78.5 peratus daripada penduduk Malaysia merupakan pengguna aktif media sosial. Peningkatan akses kepada media sosial membuatkan lebih banyak traksaksi kewangan dilakukan secara dalam talian.
"Situasi ini membuka peluang lebih tinggi kepada penjenayah untuk memerangkap pengguna laman sesawang dan aplikasi perbankan dalam talian selain e-dompet dan platform e-dagang, khususnya tanpa langkah keselamatan oleh pengguna,'' katanya.
Jelas Syahrul Nizam, ancaman jenayah siber tidak akan dapat ditangkis jika infrastruktur keselamatan siber tidak cukup kuat, yang membuka ruang kepada penipu untuk mengeksploitasi kelompongan yang ada pada struktur itu.
"Kita akui jenayah ini mula tertumpu pada aplikasi WhatsApp, Telegram dan khidmat pesanan ringkas kerana aplikasi terbabit digunakan hampir di seluruh dunia dan jutaan orang di Malaysia aktif menggunakannya.
"Penipu juga menggunakan aplikasi yang sama, jadi sukar untuk kita kesan sebab penipu juga mendaftar nombor telefon meskipun menggunakan akaun WhatsApp atau Telegram palsu," katanya.
Menurut beliau, setiap hari masyarakat menerima 99 peratus maklumat sahih melalui WhatsApp, namun apabila satu peratus maklumat palsu berunsur penipuan itu muncul, ramai yang cenderung mempercayainya dan kemudian mengongsi maklumat palsu tersebut dengan rakan lain.
Ipsos Malaysia dalam tinjauannya, turut mendapati tiga perempat daripada penduduk Malaysia menjadi sasaran penipuan dan peningkatan dalam suku tahun terakhir menyerlahkan kelemahan itu apabila 76 peratus daripada 1,000 responden yang terlibat dalam kaji selidik tersebut menyatakan pernah terjerat.
Menurut Ipsos Malaysia lagi, sebanyak 51 peratus responden melaporkan mereka berdepan penipuan tiga bulan lepas, 26 peratus berdepan penipuan sebulan yang lalu dan 14 peratus berdepan penipuan seminggu lepas.
Jangan malu buat aduan
Justeru, Syahrul Nizam menyeru ahli masyarakat yang menjadi mangsa penipuan kewangan agar tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata berdepan dengan stigma, malu dan sukar untuk mempercayai diri telah ditipu, merupakan batu penghalang bagi mangsa untuk membuat laporan.
Dalam perinciannya, Ipsos Malaysia menyatakan hanya 48 peratus daripada 657 responden yang menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian kewangan atau hampir menjadi mangsa penipuan tetapi menyedarinya sebelum sebarang kerugian kewangan berlaku, melaporkan insiden kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun 12 peratus tidak mengambil sebarang tindakan.
"Selain itu, mangsa mungkin tidak tahu tentang prosedur membuat laporan dan kurangnya kesedaran tentang aspek tersebut membuatkan mangsa teragak-agak atau berasa prosedurnya rumit sehingga akhirnya langsung tidak membuat laporan.
"Jangan berdiam diri, mangsa hanya perlu pergi ke agensi berkaitan di kawasan masing-masing termasuk balai polis dan juga bank mereka. Jika tidak ada laporan, bagaimana pihak berkuasa mahu membuat siasatan,?" soal beliau.
Katanya ini kerana setiap laporan yang diterima akan diselaraskan dengan pihak berkuasa lain termasuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Kecanggihan teknologi
Bagi pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Azuan Ahmad, beliau berkata kepelbagaian aplikasi yang dibangunkan seiring kecanggihan teknologi digital turut membuka peluang kepada penipu dalam talian menjerat mangsa.
Kewujudan pelbagai aplikasi yang senang dimuat turun ini sebenarnya berpotensi menjadi pintu gerbang kepada penjenayah untuk mengakses maklumat peribadi termasuk kewangan mangsa, ujarnya.
"Apabila lebih terdedah kepada dunia siber, secara tidak langsung lebih banyak data peribadi kita berada di alam siber, dan sekiranya keselamatan data itu tidak dititikberatkan, hal ini akan mendedahkan pengguna kepada risiko kecurian dan kebocoran data.
"Ini membolehkan scammer kewangan mengakses maklumat mangsa dengan menjadikannya modal untuk memancing kepercayaan mangsa sehingga akhirnya mereka terjerat," tambah beliau.
Selain itu, Azuan berkata sejak kebelakangan ini, kumpulan penipu ini turut memanfaatkan aplikasi mudah alih sebagai modus operandi mereka, termasuk menyamar sebagai agensi pihak berkuasa seperti polis.
"Contohnya, hanya dengan mengetahui nama penuh mangsa, penjenayah dapat mengesan maklumat peribadi lain seperti nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor pendaftaran kereta, dan adanya maklumat tambahan ini membuatkan mangsa lebih mudah terpedaya sebab yakin mereka adalah daripada pihak boleh dipercayai.
"Terdapat juga scammer membangunkan pelbagai aplikasi palsu yang apabila dimuat turun atau diklik oleh pengguna, membolehkan penipu mengakses aplikasi perbankan mangsa. Ada juga yang menggunakan logo bank seakan bank sebenar bagi meyakinkan mangsa mereka adalah institusi sah," katanya.
Mudah terpedaya
Mengulas lanjut, Azuan berkata sikap manusia yang mudah dieksploitasi, cepat panik dan kurang pengetahuan tentang dunia digital dan siber, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes penipuan kewangan dalam talian di negara ini.
Penjenayah juga bijak dalam memanipulasi psikologi mangsa sehingga si mangsa percaya sepenuhnya apa juga yang dinyatakan oleh penipu, katanya.
"Mangsa yang mudah panik dan percaya akan mendedahkan butiran kewangan mereka termasuk maklumat perbankan kepada scammer yang akhirnya menjerat diri mereka," kata beliau, menambah, disebabkan oleh kurang kecaknaan akan ancaman siber ini, masyarakat akan terus terdedah kepada jenayah itu.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pihak berkepentingan meningkatkan kempen kesedaran selain sentiasa menyebar luas modus operandi terkini penipu dalam talian berkenaan.
Beliau juga mengesyorkan pengguna telefon pintar memuat turun aplikasi yang dapat menyaring pemanggil seperti Whoscall dan Truecaller, bagi melindungi diri mereka daripada jerat sindiket penipuan.
Pusat Respons Scam
Beliau juga melihat NSRC yang diwujudkan pada tahun lepas sebagai platform terbaik dalam mengekang serta menangani kes penipuan siber dengan lebih menyeluruh dan bersepadu.
Katanya ini kerana pusat itu menghubungkan sumber dan kepakaran jenayah termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), polis, SKMM, institusi perbankan dan syarikat telekomunikasi negara.
"Selain menyebarkan kesedaran berkaitan jenayah ini kepada masyarakat, NSRC menerusi agensi terlibat, giat melakukan pengesanan keldai akaun yang digunakan sebagai medium transaksi wang oleh penjenayah penipuan.
"Sebagai pusat respons setempat berkaitan jenayah scam, NSRC juga diakui bertindak pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian termasuk mengesan dana yang dicuri dengan lebih cepat, sekali gus dapat mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah terbabit," katanya.
Sejak ditubuhkan pada Oktober 2022 hingga 30 Nov 2023, NSRC merekodkan kes dengan jumlah kerugian RM173 juta, dan daripada jumlah itu, wang yang berjaya disekat daripada jatuh ke tangan penjenayah ialah sebanyak RM33 juta.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Dec 29 2023
Azuan berkata, sejak kebelakangan ini, kumpulan penipu turut memanfaatkan aplikasi mudah alih sebagai modus operandi, termasuk menyamar sebagai agensi pihak berkuasa. - Gambar fail/Amanz
Dua pegawai atasan syarikat pembekalan air Johor ditahan SPRM
Kedua-dua lelaki berusia 36 dan 40 tahun tersebut ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2 petang Isnin.
Israel bunuh 40 rakyat Palestin ketika rundingan gencatan senjata bermula
Daripada jumlah itu, lebih separuh maut di bandar Rafah di selatan Gaza di mana ia meranapkan tiga buah rumah.
Banyak respons positif terhadap pelaksanaan VAR - Stuart
Ia berdasarkan maklum balas dikumpul selepas lapan perlawanan pramusim pasukan Liga-M yang menguji pelaksanaan sistem VAR baru-baru ini.
A.S sahkan 5 unit Israel cabul hak asasi sebelum perang
Amerika Syarikat mendapati lima unit pasukan keselamatan Israel bertanggungjawab atas pencabulan hak asasi manusia, pada Isnin.
Israel bunuh 40 rakyat Palestin ketika rundingan gencatan senjata bermula
Serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin pada Isnin.
A.S, Britain gesa Hamas terima cadangan gencatan senjata Israel
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken menggesa Pejuang Hamas untuk segera menerima cadangan Israel untuk gencatan senjata dalam perang Gaza dan pembebasan tebusan Israel yang ditahan.
Gencatan senjata sepenuhnya perlu dilakukan
Israel perlu bersetuju untuk menghentikan peperangan dan solusi yang dipersetujui oleh banyak pihak termasuk penyelesaian dua negara.
India rampas kapal bawa dadah bernilai AS$71 juta
Pihak berkuasa India turut menangkap 14 warganegara Pakistan dalam serbuan berkenaan.
Perkhidmatan feri percuma bagi pengunjung Program MADANI Rakyat Zon Utara
Perkhidmatan feri Pulau Pinang secara percuma disediakan bagi pengunjung PMR Zon Utara yang akan diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Qatar nantikan kata putus Malaysia dalam pelaburan Baladna
Lawatan keempat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi sempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) antara lain turut memberi penekanan dalam sektor agrikultur dan sekuriti makanan. Misi ini jelas serentak dengan tema forum ini iaitu 'Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan' yang mana Datuk Seri Anwar berkesempatan berbincang dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani mengenai hasrat pelaburan ladang tenusu terbesarnya, Baladna dikomersialkan di Malaysia.
ANCC2024: Astro, NACSA bekerjasama anjur 'coding challenge'
ANCC2024 membuka peluang kepada pelajar daripada institusi awam dan swasta untuk mengambil bahagian dalam mencipta penyelesaian inovatif bagi memerangi ancaman dalam talian.
Keselamatan siber: Keterangkuman, kepelbagaian perkasa sumbangan wanita - Noraini
Wanita harus mula memberi fokus dan penekanan terhadap keterangkuman dan kepelbagaian perspektif bagi menangani cabaran industri dengan berkesan.
Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024
RUU itu diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Sistem PADU selamat - Fahmi
Antara pihak yang terlibat dalam menguruskan keselamatan siber negara termasuklah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Cybersecurity Malaysia.
Hanya dua peratus syarikat Malaysia sedia hadapi serangan siber - Cisco
Kos yang terpaksa ditanggung akibat kegagalan menghadapi serangan siber agak tinggi, dengan anggaran sekitar AS$300,000 (RM1.4 juta).
Kajian semula struktur percukaian, sara antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Isu mengenai langkah-langkah mengkaji semula struktur percukaian semasa akan dibangkitkan Muhammad Ismi Mat Taib pada sesi soal jawab.
Keselamatan siber: Malaysia perlu 25,000 profesional menjelang 2025 - PM Anwar
Malaysia kini kekurangan 12,000 profesional sekuriti siber, dan negara memerlukan lebih 25,000 pekerja bidang tersebut menjelang 2025.
Keselamatan data PADU terjamin, beroperasi 84 hari tanpa gangguan - Mohd Uzir
Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah terbukti mempunyai standard keselamatan data yang baik selepas beroperasi selama hampir 100 hari tanpa gangguan.
Keselamatan, kerahsiaan maklumat PADU terjamin daripada kebocoran
Jika berlaku perkara tidak diingini, PADU melalui pasukan CSIRT bersiap siaga mengendalikan melalui prosedur yang ditetapkan.
NACSA kesan peningkatan insiden keselamatan siber
Pelaku menyasarkan laman sesawang, sistem dalam talian, rangkaian dan aplikasi milik organisasi swasta serta kerajaan di Malaysia.