Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini berkata beliau tidak membenarkan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei 'disentuh' oleh mana-mana pihak yang ingin meletakkannya sebagai calon pilihan raya kecil Kajang.

"Jangan sentuh Lee Chong Wei. Beliau merupakan aset negara. Sebagai Menteri Sukan saya tak benarkan,“ kata Khairy dalam laman Twitternya tengah hari tadi apabila ditanya samada boleh atau tidak Chong Wei menjadi calon PRK Kajang.


MCA semalam telah memaklumkan akan meneliti semua cadangan termasuk meletakkan Chong Wei sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N-25 Kajang.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak menolak kemungkinan tersebut kerana katanya populariti Chong Wei mungkin boleh membantu memberikan kemenangan kepada BN di kerusi tersebut.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Ketua Umno Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul berpendapat MCA perlu meletakkan calon popular untuk mengatasi Anwar dan mencadangkan Chong Wei sebagai calonnya.

Menurut Zahidi yang juga Anggota Parlimen Padang Besar berkata, pemilihan Chong Wei sebagai calon juga dapat mengalihkan pelbagai isu yang melanda negara sekarang.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 28 Jan telah menamakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR pada hari tersebut.

Pengumuman itu adalah berikutan kekosongan kerusi DUN Kajang ekoran perletakan jawatan penyandangnya yang juga dari PKR dan mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat (PR) memutuskan untuk meletakkan Anwar sebagai calon yang akan mewakili PR.

Turut hadir Anwar, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sehari sebelum itu, ADUN Kajang Lee Chin Cheh, telah meletakkan jawatannya yang disebut-sebut bagi memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Anwar bagaimanapun menafikan beliau akan mengambil alih tempat Khalid sebagai Menteri Besar Selangor apabila ditanya wartawan sambil mengatakan dakwaan itu hanyalah spekulasi dan sudah diperkatakan sejak 2008 lagi.