Kementerian Wilayah Persekutuan akan menunaikan janji kerajaan Barisan Nasional bagi membina 80,000 unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan dalam tempoh lima tahun.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata 50,000 unit akan dibina di Kuala Lumpur, 20,000 unit di Putrajaya dan 10,000 unit di Labuan.

"Langkah itu adalah komitmen kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan antara RM2,500 dan RM3,000 sebulan memiliki rumah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Penanaman Pokok Serentak peringkat Wilayah Persekutuan di Taman Metropolitan Batu, Jalan Ipoh, di sini.

Beliau juga berkata kementerian bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang mengkaji kemungkinan menyediakan perumahan secara penyewaan kepada golongan muda yang masih bujang dan berpendapatan RM900 ke bawah sebulan.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Tengku Adnan berkata program itu adalah untuk memupuk minat dan meningkatkan kesedaran warga kota terhadap kepentingan aktiviti penanaman dan penjagaan pokok.

Katanya kementeriannya menyasarkan untuk menanam 37,000 batang pokok berdasarkan program penghijauan bandar pada tahun ini di bawah projek 'Greening Greater Kuala Lumpur/Klang Valley'.