KUALA LUMPUR: Pendaftaran bagi kumpulan remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun sudah diterima oleh sistem MySejahtera.

Namun Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan memaklumkan, tiada janji temu diberikan kepada kumpulan umur berkenaan ketika ini.

Jelas CITF, ia bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas individu remaja mengambil dos kedua suntikan vaksin COVID-19 seperti kajian di Amerika Syarikat.

“Ketika ini, keutamaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah kepada usaha untuk melengkapkan Fasa 2 dan memantapkan pelaksanaan Fasa 3 di seluruh negara termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan pandemik COVID-19.

“Namun begitu, bagi pelajar tahun peperiksaan yang telah mencapai usia 18 tahun, contohnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia, termasuk yang akan memasuki usia 18 tahun pada tahun ini vaksinasi COVID-19 akan diteruskan mengikut penjadualan dan janji temu yang telah ditetapkan," jelas CITF. 

Sistem MySejahtera akan terus menerima pendaftaran vaksinasi untuk golongan remaja supaya ia boleh digunakan pada masa depan apabila sebarang keputusan dibuat berkenaan hal ini.

Ketika ini, keutamaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah kepada usaha untuk melengkapkan Fasa 2 dan memantapkan pelaksanaan Fasa 3 di seluruh negara.

Ia termasuk operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan pandemik COVID-19.

Ketika ini, kerajaan telah bersetuju untuk tidak memberikan vaksin kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia.