PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim menganggap jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang digalasnya sekarang merupakan tanggungjawab besar yang tidak boleh dipandang ringan.

Mengakui gembira namun risau dengan pelantikan itu, Adam Adli menegaskan beliau akan sentiasa berhati-hati kerana tidak mahu tidak tersilap langkah.

"Saya anggap itu satu bentuk kepercayaan dari pimpinan negara. Peranan sebagai Timbalan Menteri, perlu kita faham, jangan kita keliru.

"Saya tahu, harus kita sokong kerja-kerja baik dan beri sedikit sebanyak sokongan kepada Menteri (Hannah Yeoh) dalam melaksanakan tugas berkaitan dan pastikan pelaksanaan program.

"Itu tanggungjawab besar dan saya galas dengan penuh keinsafan. Saya tak mahu langkah pertama, tersilap langkah.

"Gembira, tapi ada kerisauan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mula menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu di pejabat kementerian di Putrajaya pada Isnin.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Kementerian Belia dan Sukan, Abdullah Hasan dan Ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KBS.

Tambah beliau, semua gerak kerja perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bekerjasama dengan banyak pemegang taruh.

"Kita ada banyak agensi dan saling bekerjasama dengan banyak kementerian. Tak rugi belajar dahulu tapi jangan (belajar) terlalu lama," ujarnya.

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan Adam Adli berkata beliau bersedia untuk berdepan dengan cabaran yang bakal ditempuh dalam memastikan agenda kementerian dapat dilaksanakan.

Ujarnya, beliau akan sentiasa berbincang dan membantu Menterinya, Hannah Yeoh agar perancangan melibatkan anak muda berjalan dengan baik.

Tegasnya, sekarang adalah masa untuk mereka yang bertanggungjawab kepada rakyat untuk fokus kepada kerja dan mengetepikan perbalahan politik lalu.