PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewujudkan Jawatankuasa Harmoni dengan kerjasama Kementerian Perpaduan bagi menangani isu persepsi salah terhadap Islam di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar, jawatankuasa itu akan dianggotai pemimpin-pemimpin agama di negara ini.

"Kita telah memulakan dialog, saya telah bertemu pemimpin-pemimpin agama besar di negara kita, saya juga telah bercakap dengan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang untuk kita wujudkan semula Jawatankuasa Harmoni diangotai pemimpin agama bagi menghormati antara agama.

"Jadi ia akan menjadi jurucakap menjelaskan kepada orang bukan Islam (mengenai agama Islam), ini kita lakukan semoga insiatif ini diambil termasuk apa yang Perdana Menteri kita lancarkan 1 juta Al-Quran jadi kita dah lakukan," katanya.

Mengulas lanjut kata Mohd Na'im, jawatankuasa itu bertujuan membawa kelestarian dan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia berlatar belakang pelbagai agama.

Ujarnya, mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan pada Oktober depan.

"Ia dipersetujui Menteri Perpaduan bahawa Jawatankuasa Harmoni akan membawa kelestarian, kehamonian dikalangan mereka menganut pelbagai agama," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2023 di Putrajaya pada Khamis.

Sebelum ini, Malaysia menempelak tindakan segelintir pihak membakar kitab suci al-Quran, serta menghidupkan kebencian terhadap umat Islam di dunia.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, tindakan itu tidak bertanggungjawab serta membawa mesej berbahaya kepada kemanusiaan.

Justeru, Malaysia menyeru semua masyarakat dunia agar menerapkan nilai penerimaan, toleransi dan saling menghormati.

Dunia, tegas Anwar, perlu mempromosikan persefahaman dan kerjasama antara budaya, tamadun dan agama bagi memastikan keamanan dan keharmonian antara negara.