KOTA KINABALU: 'Skybridge' bernilai RM31.5 juta yang merangkumi laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira 400 meter menghubungkan beberapa pusat beli belah di tengah bandar raya di sini akhirnya siap, dan akan dibuka kepada umum pada Khamis ini selepas dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.

Hajiji berkata jejantas yang menghubungkan pusat beli belah Oceanus, Api-Api Centre, dan Asia City itu akan memberi banyak manfaat kepada orang ramai, terutama dari segi keselesaan dan juga keselamatan bagi pejalan kaki yang hendak melintas jalan di kawasan itu.

"Penyiapan projek itu menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah adalah kerajaan yang proaktif dan prihatin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skybridge berkenaan hari ini.

Projek jejantas itu telah terbengkalai di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini selepas kerja-kerja pembinaannya dihentikan apabila pemajunya diisytihar muflis.

Awal tahun ini Hajiji melawat tapak pembinaan itu dan dengan segera mengumumkan peruntukan RM4.7 juta daripada kerajaan negeri bagi menyiapkan projek berkenaan dan beliau turut mengarahkan supaya ia disiapkan segera untuk keselesaan dan keselamatan orang ramai.

Projek itu dibiayai oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (UKAS) melalui Perjanjian Dana Mudahcara antara Kerajaan Malaysia, Bank Pembangunan Malaysia dan Sunsea Development Sdn Bhd pada 9 Feb 2017.

Sementara itu Hajiji berkata kerajaan negeri tiada apa-apa bantahan untuk berbincang mengenai isu menggubal undang-undang baharu mengenai kesihatan sebagaimana yang diusulkan pembangkang, sekiranya ia adalah untuk manfaat penduduk Sabah.

"Terserah kepada Speaker Dewan Undangan Negeri untuk menerima usul khas itu, kami tiada masalah untuk berbincang dan melaksanakan apa yang perlu demi kebaikan rakyat Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas usul khas yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedict dan ADUN Luyang Ginger Phoong bagi persidangan Dewan Undangan Ngeri membincangkan penggubalan undang-undang baharu berhubung kawalan dan pencegahan penyakit.

Persidangan Dewan Undangan Sabah berikutnya dijadualkan dari 21 hingga 23 Sept.

-- BERNAMA