KUALA LUMPUR:"Jika menganggap perang terhadap virus COVID-19 sudah berakhir, anda membuat satu kesilapan yang besar!".

Itu amaran Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berdasarkan situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan dunia ketika ini.

Katanya, keadaan belum kembali normal walaupun negara sudah tidak lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Dr Noor Hisham, ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan akan menyebabkan pertambahan kes baharu dari semasa ke semasa.

"Kementerian Kesihatan (KKM) sedia maklum selama sembilan bulan ini ramai di kalangan petugas dan rakyat Malaysia mungkin berasa fatigue (penat) mematuhi SOP, tetapi perlu diingatkan virus COVID-19 tidak pernah fatigue.

"Kalau kita leka dan ambil mudah, jangkitan akan berlaku kerana virus tersebut telah berada dalam komuniti kita.

"Nasihat KKM adalah duduk di rumah kalau tidak ada urusan penting di luar. Kalau ada urusan penting di luar rumah, patuh kepada SOP supaya kita dapat elakkan jangkitan COVID-19," katanya pada sidang media di sini, hari ini.