JOHOR BAHRU: Satu jawatankuasa khas bakal ditubuhkan kerajaan Johor bagi menilai prosedur operasi standard (SOP) melibatkan kumpulan pekerja Singapura dan Malaysia, susulan pembukaan sempadan darat kedua-dua negara pada 1 April depan.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, keputusan pelaksanaan SOP itu akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Jelas beliau, pengumuman berkenaan perkara tersebut akan dibuat selepas perbincangan melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Sumber Manusia Negeri yang dilaksanakan pada hari ini.

"Berkaitan isu yang disebutkan tadi insyaAllah terjawab selepas saya berjumpa dengan agensi-agensi di bawah saya, di bawah Jabatan Sumber Manusia.

"Jawatankuasa khas diperlukan, mungkin akan berbincang bersama tentang apa SOP yang akan dijalankan bersama rakan Kementerian Kesihatan ataupun Jabatan Kesihatan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program gotong-royong peringkat negeri Johor di Tanah Perkuburan Kampung Kurnia, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

Jelasnya, pelaksanaan SOP itu turut mengambil kira bilangan keseluruhan pekerja daripada kedua-dua negara.

Dalam sidang sama, beliau memberitahu, program gotong-royong itu disertai lebih 100 sukarelawan Southern Volunteer (SV) dalam usaha mengindahkan kawasan perkuburan menjelang bulan Ramadan.

Program itu turut dijalankan serentak di seluruh Johor dengan penyertaan keseluruhan kira-kira 2,000 sukarelawan.