KOTA KINABALU: Sejumlah 2,300 kilogram (kg) jongkong emas bernilai RM585 juta telah dijual hasil perlombongan emas di Bukit Mantri, Tawau yang mula beroperasi pada 2018, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Menteri Kewangan Datuk Julita Majungki berkata Kerajaan Sabah juga telah menerima lima peratus royalti ke atas hasil jualan emas mentah berjumlah RM23.96 juta daripada lombong emas berkeluasan 317.7 hektar itu.

"Kerajaan Sabah belum mengenakan cukai jualan negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga tidak mengenakan duti eksport ke atas emas yang dibawa keluar dari Sabah ke Semenanjung Malaysia," katanya menjawab soalan lisan Datuk Yong Teck Lee (Dilantik) mengenai cukai jualan dan cukai eksport yang dikenakan bagi emas yang dibawa keluar dari Sabah.

Dalam pada itu Julita berkata bagi memastikan kutipan hasil yang optimum, kerajaan negeri dengan kolaborasi Pejabat Hasil Bumi (SUHB), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Sabah Mineral Mangement Sdn Bhd (SMM), Jabatan Mineral dan Geosains serta JKDM akan menambah baik proses perlombongan dan peleburan emas menjadi lebih telus dan efektif.

Beliau berkata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah melantik Pengarah JTU sebagai Ketua Merinyu Galian selaras dengan Seksyen 2, Ordinan Perlombongan Sabah 1960 bermula pada 1 Jan 2023 untuk mentadbir Sistem Pentadbiran Mineral di Sabah dan mengawal selia operasi perlombongan.

Selain itu beliau berkata Jawatankuasa Pemandu Bersepadu juga ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti pemantauan operasi perlombongan emas dengan memperkenalkan Sistem Tiga Kunci untuk aktiviti pemantauan yang diadakan dua kali sebulan.

Menurutnya kerajaan negeri melalui JTU dan SUHB dengan kerjasama SMM juga akan mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan berkaitan aktiviti perlombongan mineral berdasarkan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 dan Ordinan Tanah Bab 68 melalui pemerkasaan Rangka Kerja Pengawalseliaan.

Katanya ia sejajar dengan Seksyen 28, Ordinan Perlombongan 1960 untuk memperkenalkan peraturan-peraturan baharu bagi operasi perlombongan yang lebih efisien dan mematuhi konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Kerajaan negeri akan mengkaji semula kontrak perjanjian dan ordinan, akta dan enakmen berkaitan untuk meningkatkan kadar royalti emas daripada lima peratus kepada 10 peratus ke atas emas mentah yang dihasilkan daripada aktiviti perlombongan tersebut.

"Kita juga akan mempertimbangkan pengenaan cukai jualan negeri ke atas emas yang dibawa keluar dari Sabah," katanya menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengenai tindakan bagi memastikan Sabah tidak kerugian akibat kehilangan hasil negeri.

-- BERNAMA