PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi di bawahnya akan bekerjasama dengan Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HGIM), yang didukung empat pertubuhan dakwah dalam program pembangunan kefahaman Islam serta pemantapan pendakwah yang membawa mesej kesederhanaan dalam Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, kedua-dua pihak secara asasnya bersetuju bekerjasama bagi memperkasakan hal ehwal Islam di Malaysia dalam aspek pembangunan fitrah, budaya kesederhanaan Islam dan nilai wasatiyyah menerusi seminar dan konvensyen yang turut melibatkan masyarakat.

"Kami juga bersetuju untuk mengukuhkan peranan dan kandungan media Islam yang dapat membangunkan masyarakat yang maju dan progresif serta mengalu-alukan kesediaan pihak HGIM sebagai rakan strategik pembangunan hal ehwal Islam di masa hadapan," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama HGIM di sini pada Khamis.

HGIM terdiri daripada empat pertubuhan dakwah utama dalam negara iaitu Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Pertubuhan Ikram (Ikram), Angkatan Belia Islam (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan).

Mohd Na'im berkata, penekakan tentang Islam Wasatiy atau membina gagasan ummatan wasata adalah sejajar dengan program pemerkasaan hal ehwal Islam yang sedang digerakkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang antaranya menekankan elemen kehormatan institusi Islam dan kesejahteraan insan.

"Usaha-usaha untuk membina negara khususnya dalam pelaksanaan agenda Membangun Malaysia MADANI perlu disokong oleh semua pihak," katanya. - BERNAMA