KOTA BHARU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempergiatkan inisiatif memasuki kawasan pedalaman Orang Asli bagi mengurangkan kelewatan daftar kelahiran dan MyKad komuniti itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPN, Faizah Jaarudin berkata, langkah itu dilaksanakan di bawah Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) antaranya melibatkan beberapa kampung Orang Asli di Kelantan seperti di Pos Brooke, Pos Gob dan Pos Simpor.

Beliau berkata, JPN turun ke kampung mereka bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) selain bekerjasama rapat dengan Tok Batin.

Ekoran perkampungan Orang Asli yang jauh, beliau berkata, pihaknya menggunakan van untuk ke lokasi terbabit mengikut jadual ditetapkan.

"Apabila siap permohonan kad pengenalan atau sijil kelahiran, JPN akan ke sana (kampung Orang Asli) semula untuk penghantaran.

"Pada masa ini, kami dalam permohonan mendapatkan kenderaan pacuan empat roda bagi melancarkan lagi pergerakan kami ke pedalaman kampung Orang Asli," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya JPN di RTC Tunjong, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi ialah mendekati masyarakat Orang Asli Suku Bateq bagi proses pendaftaran kerana mereka kerap berpindah-randah.

"Memandangkan kami sudah memahami budaya Orang Asli seperti berpindah-randah maka kami menyelesaikan masalah pendaftaran dengan kemudahan komunikasi dan teknologi yang ada sekarang," katanya. - BERNAMA