KUALA LUMPUR: Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 15 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-17 yang bermula dari 24 hingga 30 April 2022 berbanding ME ke-16.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 20 peratus dari ME pertama sehingga ME ke-17.

"Jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk pada ME ke-17 berbanding ME ke-16 menurun sebanyak 33 peratus manakala untuk kategori tiga, empat dan lima adalah tiada perbezaan.

"Peratus pengisian katil bukan kritikal fasiliti COVID-19 menurun sebanyak 22 peratus pada ME ke-17 berbanding ME-16, dengan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak lapan peratus.

"Bagi katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) menurun sebanyak 75 peratus dan jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 11 peratus setakat ME ke-17," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes-kes positif COVID-19 masih dipantau melalui Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara, dengan bilangan kedatangan pesakit ke pusat itu telah menurun sebanyak 37.1 peratus antara ME ke-16 dan ME-17.

"Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 34.7 peratus manakala bilangan kes dirujuk CAC ke PKRC atau hospital telah menurun sebanyak 33.8 peratus," katanya.

Katanya kumulatif kes baharu adalah sebanyak 4,448,004 kes dengan kes aktif sebanyak 45,506 kes dicatat setakat 30 April, dengan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,366,951 kes dan kes kematian sebanyak 35,547 kes.

"Kumulatif kes kluster setakat ini ialah sebanyak 7,010 dengan kluster aktif sebanyak 84 kluster dilaporkan setakat 30 April," katanya.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh pada ME ke-17 ialah 56,352 kes berbanding 72,128 kes pada ME ke-16 iaitu menurun sebanyak 21.9 peratus manakala kes baharu pada ME ke-17 pula ialah 20,937 kes berbanding 44,665 kes pada ME ke-16, menurun sebanyak 53.1 peratus.

Katanya bilangan kes tempatan dalam tempoh berkenaan pula menurun sebanyak 52.8 peratus iaitu dari 44,193 kes kepada 20,876 kes, bilangan kes import menurun sebanyak 87.1 peratus iaitu 472 kes kepada 61 kes serta bilangan kes kematian menurun sebanyak 31.7 peratus iaitu 82 kes kepada 56 kes.

"Bilangan kes aktif pada ME ke-17 berbanding ME ke-16 menurun sebanyak 35.3 peratus iaitu daripada 637,626 kes kepada 412,555 kes, serta purata nilai RT menurun sebanyak 15.7 peratus pada tempoh yang sama," katanya.

-- BERNAMA