KUALA LUMPUR: Anggota Kabinet yang diumumkan pada Jumaat boleh dianggap tidak efektif kerana dilihat tidak mampu menggerakkan naratif politik yang berbeza.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Hamidin Hamid berpendapat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mengambil peluang untuk memulihkan kepercayaan terhadap kerajaan apabila kekal dengan laba politik yang dilihat tidak akan mampu mengubah sentimen semasa rakyat.

"Kita sepatutnya fokus kepada isu COVID-19, bagaimana nak memulihkan ekonomi dan isu sosial berkaitan seperti persekolahan anak-anak dan sebagainya. Akhir sekali, baru masuk bab politik.

"Dengan terbentuknya Kabinet baharu ini, kita tidak mempunyai pendekatan baharu untuk mengubah perjalanan negara jadi saya bimbang kita akan berdepan dengan masalah yang sama, yang seterusnya akan memberi kesan kepada perjuangan menentang COVID-19.

"Itu belum lagi masuk hal ekonomi, bagaimana nak bawa ekonomi balik ke landasan yang betul," katanya ketika muncul dalam 'Sesi Wacana Bersih berjudul Kabinet Ismail Sabri: Agenda Utama dan Kerjasama Rentas Parti', pada Jumaat.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ini kabinet baharu Ismail Sabri


Semua kementerian perlu buktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama

Tegasnya, analogi sebuah pasukan bola sepak yang digunakan sesetengah pihak tidak relevan digunakan untuk membincangkan masalah politik negara ketika ini.

"Ada yang kata, pasukan bola sepak, kalau guna pemain sama masih boleh menang apabila tukar jurulatih.

"Tetapi, apabila kita tengok analisis sebuah pasukan yang menang perlawanan, kita akan melihat pada statistik pemain dan strateginya, ke mana hala tuju dan ke mana bola itu disepak.

"Namun, menteri yang ada sekarang, kita sudah tahu ke mana hala tujunya kerana hampir keseluruhannya adalah orang yang sama," ujarnya.

Tambahnya, tempoh 100 hari yang diberikan untuk mengukur prestasi jemaah menteri merupakan sesuatu yang sukar dilaksanakan apatah lagi kebanyakan mereka menduduki kerusi yang sama sejak hampir dua tahun lalu.

"Dengan barisan Kabinet ini, sekiranya tiada perubahan dalam bentuk pengukuran KPI yang jelas dan bagaimana ia akan diperincikan kepada rakyat, saya yakin dalam masa yang singkat, rakyat akan menghukum mereka," ujarnya.

Beliau melihat ciri politik Malaysia ketika ini, di mana tiada satu parti mendominasi, akan berterusan sehingga pilihan raya umum yang akan datang.

"Malaysia sebenarnya sedang belajar melalui pengalaman. Situasi ini tidak pernah terjadi sebelum 2018.

"Dalam hal ini, pujian harus diberi kepada rakyat yang matang, sehingga tidak tercetus sebarang provokasi atau pertumpahan darah yang kita biasa lihat berlaku di negara luar.

"Pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun, bukan petanda ketidakstabilan kerana ia perkara semula jadi bagi pembangkang apabila mereka lihat peluang ada, mereka akan ambil kesempatan

"Persoalannya, adakah mereka mampu? Itu yang perlu ditanya kerana jika mereka merasa sukar dapat kuasa melalui Ahli Parlimen, secara matangnya seeloknya tunggu semasa pilihan raya," katanya.