Putrajaya digesa untuk mengkaji semula keputusan memansuhkan hukuman mati mandatori, kata Pas hari ini.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu sepatutnya dibawa ke peringkat perbincangan membabitkan semua pihak berkepentingan terlebih dahulu.

“Saya harap kerajaan dapat mengkaji terlebih dahulu keputusan berkenaan mengikut proses yang adil dan betul mengikut peringkat-peringkat tertentu.

“Saya tak kata setuju atau tak, tapi ia harus dikaji dahulu. Boleh ambil pakai kaedah hukuman ta’zir dalam Islam,” kata Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Katanya, kerajaan harus mendahulukan hukuman ringan terlebih dahulu, sebelum memikirkan hukuman mati sebagai jalan terakhir.


Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata hukuman mati mandatori akan digantikan dengan penjara minimum 30 tahun jika Parlimen meluluskan pemansuhannya.

Rang undang-undang tersebut dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menteri itu turut menggesa Lembaga Pengampunan mempertimbangkan untuk menggantung hukuman mati bagi kesemua kesalahan.

BACA: Mansuh hukuman mati untuk semua kesalahan jenayah

BACA: Mansuh hukuman mati: AADK mahu hukuman setimpal untuk kesalahan dadah

BACA: Mansuh hukuman mati: Lembaga Pengampunan tentukan alternatif hukuman

Terdapat 18 kesalahan jenayah memperuntukkan hukuman mati seperti mengedar dadah, membunuh, rogol kanak-kanak, rogol hingga menyebabkan kematian dan menggunakan senjata api, selain terorisme dan melancarkan perang.

Kenyataan menteri itu mengundang kritikan daripada pihak pembangkang apabila menyifatkan pemansuhan hukuman mandatori tidak sensitif kepada keluarga mangsa.