Kepimpinan parti MCA yang dilantik sebagai Menteri Kabinet hari ini tidak akan berhenti daripada memberikan kritikan kepada kerajaan terhadap isu-isu yang menyentuh hal rakyat, tegas presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menggesa rakan-rakan yang dilantik untuk bekerja dua kali ganda lebih keras, Liow berkata MCA akan terus menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat dan akan kekal lantang sama seperti sewaktu parti itu tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Liow bagaimana pun tersentuh dengan ucapan Najib yang menekankan kepentingan perkongsian kuasa dalam BN dan bagaimana "MCA mesti mewakili kaum Cina dalam kabinet bagi memastikan kerajaan terus melindungi perpaduan, keharmonian dan pembangunan yang berterusan."

"Kami akan bekerja keras bagi membantu Najib untuk melakukan transformasi terhadap negara ini.

"Kita berdepan dengan pelbagai cabaran; MCA sendiri berdepan dengan cabaran yang getir. Kita mesti bekerja lebih keras untuk melakukan transformasi terhadap MCA sendiri," ujar Liow.

Mengalu-alukan cabaran baru itu, beliau berharap rakyat Malaysia akan memberikan peluang kepada rakan-rakannya untuk melakukan yang terbaik sewaktu melaksanakan tanggungjawab yang besar ini.

Katanya lagi, salah satu keutamaan beliau adalah untuk menyelesaikan isu MH370 yang sebelum ini dikendalikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memangku jawatan menteri pengangkutan sebelum ini.