TORONTO (Kanada): Kanada pada Rabu mengumumkan sekatan tambahan terhadap empat individu dan 29 entiti yang mempunyai kaitan langsung dengan kompleks perindustrian ketenteraan Rusia serta sektor kewangan dan nuklearnya.

Mereka yang disekat termasuk "seorang kolonel Angkatan Tentera Rusia yang merupakan komander briged peluru berpandu antipesawat kelima puluh tiga, yang dikaitkan dengan insiden pesawat MH17 milik Malaysia Airlines yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di timur Ukraine," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kerajaan.

Syarikat yang dikenakan sekatan bertanggungjawab untuk membangunkan produk untuk kegunaan awam dan ketenteraan seperti penerbangan, marin dan peralatan nuklear khas.

"Syarikat itu termasuk Promtekhnologiya LLC, yang menghasilkan senjata yang digunakan oleh Syarikat Tentera Swasta Wagner semasa pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine," menurut kenyataan itu.

Negara itu juga mengenakan sekatan ke atas entiti kewangan yang sebelum ini disekat oleh sekutu G-7 dan dikaitkan secara langsung dengan "rejim Putin" dan individu di syarikat milik kerajaan.

"Sasaran baharu berkaitan nuklear terdiri daripada anak syarikat ROSATOM, termasuk syarikat yang merupakan sebahagian daripada kompleks senjata nuklear Rusia, dan agensi eksport yang menjual teknologi nuklear Rusia di luar negara," menurut kenyataan itu.

"Sekatan-sekatan ini adalah sebahagian daripada Peraturan Langkah Ekonomi Khas (Rusia) dan menyasarkan mereka yang terlibat dalam pencerobohan skala penuh Rusia ke atas Ukraine," tambahnya.

Sekatan Kanada bertujuan untuk mengehadkan kecuaian Rusia dalam sektor ini dan melengkapkan usahanya di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang bertujuan untuk memastikan Rusia bertanggungjawab atas ketidakpeduliannya terhadap piawaian antarabangsa yang dibangunkan untuk memastikan keselamatan nuklear. - BERNAMA