MELAKA TENGAH:Proses bedah siasat kanak-kanak yang dipercayai lemas dalam tong dan didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini pada Jumaat, menemui pelbagai kesan kecederaan.

Bedah siasat itu berlangsung selama kira-kira 11 jam dan selesai jam 10 malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, mengesahkan terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baharu dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.

“Siasatan awal bedah siasat ini mendapati memang terdapat kecederaan baharu dan lama terutama dibahagian kepala yang mana kita dapati ada luka baharu kira-kira tiga sentimeter.

“Kita tidak tolak kecederaan itu akibat objek tumpul, bagaimanapun kita akan jalankan siasatan lanjut sama ada ia akibat mangsa sendiri jatuh ke atau pelakuan mana-mana individu,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, malam Ahad.

Terdahulu Astro AWANI melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa berusia 38 tahun yang anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Mengulas lanjut Mohd Sukri berkata, pihak hospital belum dapat mengesahkan masa sebenar mangsa mendapat semua kecederaan itu.

“Masa (bila mangsa mendapat kecederaan) kecederaan itu kita tidak boleh sahkan berapa lama, tetapi yang di bahagian belakang kepala itu memang didapati kecederaan baharu.

“Pihak hospital telah mengambil spesimen seperti hati, jantung, paru-paru dan sebagainya untuk dihantar ke makmal. Apa punca sebenar (kematian) itu kita kena tunggu laporan makmal dan jangkaan (keputusan ujian) itu saya tidak dapat pastikan bila," tambahnya.

Terdahulu, proses bedah siasat mayat kanak-kanak malang itu bermula kira-kira jam 11 pagi Ahad sebelum selesai jam 10 malam tadi.

Sehingga kini, belum ada kata putus samada jenazah kanak-kanak itu akan dikebumikan di kampung keluarga ibu kandungnya di Jasin ataupun dibawa pulang ke tempat dia dibesarkan di kediaman keluarga angkat di Rawang, Selangor.