JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit sebelum dihanyutkan arus di Lorong Cempaka Batu 18 1/2 Kampung Sungai Tiram, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Ramli berkata, mangsa berusia lima tahun itu dijumpai tersangkut di pangkal pokok sawit di sungai berhampiran pada 10.30 malam oleh unit Pasukan Penyelamat di Air, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

"Kanak-kanak berkenaan dikatakan bermain di atas jalan berhampiran tepi parit yang terletak di kawasan rumah sebelum terjatuh ke dalam parit itu.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dijumpai di pokok sawit tersebut dan mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi negeri menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 7.07 malam sebelum 14 anggota dan jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi ditamatkan pada 12.16 tengah malam. - BERNAMA