BESUT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas motosikal dinaiki diseret sejauh kira-kira 50 meter dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu berhampiran Kampung Bukit Kenak, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Wan Julaini Wan Noh, yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Tanah Merah, Jerteh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa yang beralamat di Kampung Pulau Panjang, Jerteh menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik yang sedang ditunda oleh sebuah motosikal lain akibat kerosakan.
Menurutnya, sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah yang sama kemudiannya telah melanggar bahagian belakang motosikal ditunggang kanak-kanak berkenaan.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa telah terseret sejauh kira-kira 50 meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat," katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pemandu kereta Perodua Axia berkenaan yang merupakan seorang wanita berusia 21 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu wanita terbabit turut mendapati negatif dadah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu beliau berkata, semua ibu bapa serta penjaga diingatkan agar sentiasa memantau dan tidak membenarkan anak-anak di bawah umur menunggang atau mengawal motosikal di jalan raya.
Beliau berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang malah berisiko mengundang kemalangan maut.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Besut di talian 09-6972700 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya. - Sinar Harian