Gambar kanak-kanak warga China berusia lima tahun yang tular berserta yang serta laporan polis seperti yang tular di laman sosial pada Ahad, hanya menjalani rawatan biasa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Perkara itu disahkan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus dalam satu kenyataan ringkas, susulan terdapat khabar bahawa kanak-kanak itu dijangkiti novel koronavirus di Terengganu.

Pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu bagaimanapun mendapati dia tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit disyaki (Patient Under Investigation) atau dijangkiti koronavirus.

Sebaliknya jelas Dr Azimi, kanak-kanak terbabit yang bersama ibunya itu, hanya mengalami demam biasa serta sakit tekak dan telah diberi rawatan biasa.

Gambar kanak-kanak terbabit serta satu laporan polis tular di laman sosial pada Ahad mengatakan mangsa dijangkiti koronavirus dan menjadi kes pertama di Terengganu.

Ia mencetuskan suasana panik dalam kalangan netizen serta penduduk susulan penyebaran berita berkenaan.