JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup rokok putih bernilai RM8.71 juta termasuk cukai selepas memeriksa sebuah lori kontena di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini 28 Dis lepas.

Pengarahnya Sazali Mohamad berkata rampasan pada pukul 11.45 pagi itu merupakan hasil maklumat dan risikan Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang, JKDM Johor.

Beliau berkata hasil pemeriksaan rapi pihaknya menemukan lebih tujuh juta batang rokok putih di dalam lori berkenaan yang dipercayai diimport dari China.

"Modus operasi kes ini adalah dengan buat pengikraran tidak benar dan mengelirukan iaitu dagangan telah dikrar sebagai kabinet dan aksesori kabinet di dalam borang kastam dengan tujuan untuk mengelak dikenakan cukai tinggi dan permit import," katanya pada satu sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang bekerja di sebuah syarikat perkapalan turut ditahan untuk membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, mengenai kes berlainan, Sazali berkata pihaknya merampas 600 botol dipercayai berisi air zam-zam yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah pada 30 Dis lepas.

Beliau berkata lori dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun dan kelindan 21 tahun itu dipercayai dalam perjalanan membawa air sebanyak 3,000 liter itu yang dianggarkan bernilai RM66,000 ke Singapura pada pukul 3.45 petang.

"Modus operandi kes ini adalah dengan membuat pengikraran tidak benar terhadap pengeksportan air zam-zam di dalam borang kastam.

Lori tersebut juga mendapati membawa dagangan lain peralatan mandian, minyak urut, peralatan sembahyang dan lain-lain dagangan untuk dieksport ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga pada masa sama telah menghantar sampel air zam zam terbabit ke Jabatan Kimia pada 2 Jan lepas bagi mengetahui ketulenannya dan akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut sekiranya tulen.

Sazali berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA