PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup komited meningkatkan kefahaman orang ramai yang masih rendah terhadap harta intelek, kata Timbalan Menterinya Fuziah Salleh.

"Kami komited untuk membantu masyarakat di luar sana, agar daya cipta mereka dapat dimantap dan disebarluaskan, sekali gus membantu lebih ramai usahawan yang mempunyai inovasi untuk melindungi harta intelek mereka," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Forum Nasional Hari Harta Intelek Negara (HHIN) 2024 hari ini, Fuziah berkata Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menerima sebanyak 246,178 pendaftaran harta intelek sehingga 2023.

Beliau berkata sebanyak 118 petunjuk geografi (Gl) telah didaftarkan melalui pendaftaran harta intelek menerusi warisan budaya dan khazanah negara, dengan majoritinya daripada Sabah dan Sarawak.

"Sesetengah negeri, penguat kuasa tempatan mereka perlu mendaftarkan produknya, hal ini kerana ia merupakan pengiktirafan yang harus dilindungi, di mana produk itu akan menjadi tarikan kepada pelancong.

"GI ialah tanda yang digunakan ke atas sesuatu produk, kerana produk tersebut mempunyai kualiti dan reputasi yang boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA