KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan siasatan terperinci terhadap sebuah syarikat yang mengendalikan kawasan menunggu No To Land (NTL) atau NTL Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sudah diarahkan menjalankan siasatan berkenaan.

Katanya, insiden kekecohan yang tular di KLIA Terminal 1 pada 30 jun lalu dikaitkan dengan syarikat yang mengoperasikan NTL Lounge tersebut.

“Kita sedang menyiasat dan saya telah arahkan pegawai Kementerian Pengangkutan bersama dengan pihak MAHB untuk bertemu dengan Jawatankuasa Operator Penerbangan untuk bertanya, apakah hubungan dan aturan mereka dengan syarikat swasta ini.

“Selain itu, kita akan mencari langkah mengatasi isu ini. Saya sahkan sebuah syarikat swasta... dan saya baru dapat maklumat semalam. Kita akan melihat, apakah amalan terbaik di dunia atau lapangan-lapangan terbang yang lain.

“Kita difahamkan insiden ini berlaku dalam kawasan larangan imigresen. Sebenarnya kawasan itu mesti mendapat kelulusan daripada pihak imigresen sebab itu kawasan larangan yang diurus oleh imigresen.

“Maklumat itu telah dikongsikan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan pihak kita. Pihak MoT akan menyiasat dengan lebih mendalam mengenai bagaimana operasi di sana dan bagaimana untuk mengoperasikan kawasan menunggu NTL ini dengan lebih baik.

“Kita akan buat keputusan selepas perundingan dengan semua pihak terbabit dan kita laporkan kembali kepada Jemaah Menteri,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Nature Positive Infrastructure Forum di sini, hari ini.

Dua wanita warga China sudah pulang ke negara asal - SPRM

BACA: Kronologi kekecohan di KLIA dari hari pertama kes mula tular

Loke menjelaskan syarikat pengendali NTL Lounge ini bukan lantikan MAHB, sebaliknya dilantik oleh Jawatankuasa Operator Penerbangan bagi menguruskan individu yang tidak dibenarkan memasuki Malaysia selepas tiba di balai ketibaan KLIA.

“Saya difahamkan bahawa pada tahun 2015, satu syarikat telah dilantik untuk menguruskan kawasan menunggu NTL ini. Syarikat ini tidak dilantik oleh MAHB.

“Saya ingin betulkan fakta bahawa ia tidak dilantik oleh pihak lapangan terbang. Malah dalam mesyuarat pasca-Kabinet, saya telah tanya kepada pihak MAHB sama ada mereka tahu (mengenai insiden ini). MAHB berkata itu (pengurus NTL Lounge) bukan lantikan mereka.

“Syarikat itu dilantik oleh Jawatankuasa Operator Penerbangan. Syarikat-syarikat penerbangan ini ada satu jawatankuasa, secara bersama melantik sebuah syarikat untuk menjalankan operasi kawasan menunggu NTL,” katanya lagi.

NTL Lounge disediakan bagi memenuhi keperluan di bawah Akta Imigresen yang menetapkan syarikat-syarikat penerbangan untuk bertanggungjawab kepada penumpang mereka yang tidak mendapat kelulusan untuk memasuki Malaysia.

Syarikat-syarikat penerbangan ini perlu menguruskan keberadaan penumpang berkenaan dengan menyediakan kemudahan asas serta penerbangan kembali ke destinasi asal mereka menerusi penerbangan berikutnya.

Loke juga menjelaskan bahawa pengoperasian NTL Lounge oleh syarikat swasta ini hanya di KLIA Terminal 1, manakala di KLIA Terminal 2 ia dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ditanya sama ada operasi syarikat yang mengendalikan NTL Lounge di KLIA Terminal 1 itu akan dihentikan sehingga siasatan tamat, Loke berkata ia di luar bidang kuasa MoT.

“Syarikat tersebut bukan lantikan kita (kerajaan), maka kita tidak boleh menghentikan operasi mereka. Lantikan tersebut dibuat oleh syarikat-syarikat penerbangan. Kita tidak boleh bertindak terburu-buru sekarang kerana syarikat tersebut bukan operator tidak sah,” katanya.

Selain itu, Loke berkata pihaknya akan memberi tumpuan untuk mendapatkan perincian lanjut mengenai tempoh kontrak diberikan kepada syarikat swasta berkenaan,  Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digunakan, amalan semasa dan amalan terbaik bagi tujuan NTL Lounge itu.

“Itu yang kita sedang cuba dapatkan maklumat dan perincian. Kita perlu tanya kepada syarikat penerbangan mengenai hubungan mereka dengan operator kawasan menunggu NTL, SOP yang digunakan dan rincian kontrak yang telah ditandatangani.

"Kita akan siasat dengan terperinci dan segala tindakan hanya akan ditentukan selepas kita mendapat semua maklumat dan dilaporkan kepada Jemaah Menteri,” jelasnya lagi.

Baru-baru ini tular mengenai kekecohan tercetus di KLIA apabila seorang menteri didakwa menceroboh balai ketibaan lapangan terbang untuk 'menyelamatkan' seorang pelancong dari China.

Mengakui dirinya yang dikaitkan dengan kejadian itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan kehadirannya ke KLIA membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk masuk negara