Akibat mengantuk, seorang lelaki tidak sedar van yang dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Sungai Korok, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, mujur nyawa si pemandu tidak melayang.

Pemandu van tersebut mengalami kecederaan parah di kaki selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Foto JBPM Kedah

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 11.42 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Safiron Sudin tiba di lokasi pada jam 11.57 malam.

Foto JBPM Kedah

Operasi disertai tujuh anggota bersama dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Setibanya di lokasi, bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah van jenis Nissan Vanette yang terbabas melanggar pokok dan terdapat seorang pemandu lelaki berusia 50-an yang parah di kaki.

Foto JBPM Kedah

Mohamadul Ehsan berkata, anggota BBP Jitra bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas 'rescue tool', 'ram' dan 'hydraulic tool' untuk memotong besi di tempat duduk pemandu.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jitra dengan ambulans EMRS untuk rawatan lanjut.