KUALA LUMPUR: Kemangkatan Ratu Elizabeth II pada Khamis selepas lebih 70 tahun menjadi raja pemerintah United Kingdom (UK) meninggalkan legasi yang besar untuk digalas pewarisnya, Raja Charles III selepas menduduki takhta. 

Menurut Felo Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Hamidin Abd Hamid, ini lebih-lebih lagi melihat sumbangan dan usaha Ratu Elizabeth II yang berjaya membawa keluarga diraja Britain ke satu era baharu serta dihormati oleh rakyat.

"Sesuatu legasi paling besar ditinggalkan oleh Ratu Elizabeth II ialah bagaimana beliau tidak mencampuri, (malah) menghormati segala keputusan rakyat.

"Kalau kita lihat tugas terakhir beliau apabila parti Konservatif memilih Liz Truss sebagai Perdana Menteri dan beliau (berkenan) menerima keputusan itu serta menerima masuk menghadap dua hari sebelum kematiannya," jelas Hamidin ketika ditemu bual Astro AWANI pada Jumaat.

Kemangkatan Ratu | Legasi Ratu Elizabeth II sebagai Raja Berperlembagaan


Tambahnya, Ratu Elizabeth II juga menjadi simbol yang dihormati oleh rakyat UK, meskipun di zaman moden ini.

"Ini menunjukkan bahawa sekiranya penghormatan diberikan kepada doktrin pengasingan kuasa di antara monarki dan perlembagaan saya kira ia menjadikan satu keadaan stabil dalam konteks politik di sesebuah negara.

"Ini yang ditunjukkan oleh mendiang Ratu Elizabeth, beliau menjadi simbol kepada negara dan menghormati simbol ini menjadikan sebuah masyarakat matang buat sesebuah negara," katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai keluarga diraja Britain, jelas Hamidin, pelbagai episod turut mengganggu gugat kestabilan pemerintahan keluarga berkenaan, namun berjaya diselesaikan Ratu Elizabeth II.

"Salah satu sumbangan besar Queen Elizabeth II ini ialah baginda berjaya membawa keluarga diraja Britain itu ke satu era baharu, sebagai sebuah monarki yang moden terutamanya dengan berlatarbelakangkan masyarakat dan tradisi istana yang sangat konservatif di Britain.

"Kita melihat salah satu cabaran besar ialah apabila berlaku banyak episod menganggu gugat kestabilan dan kelanjutan keluarga diraja England, terutama selepas episod perbalahan dan penceraian Putera Charles (ketika itu) dan Puteri Diana.

"Tapi baginda berjaya menyelesaikan masalah itu, apabila kemangkatan Diana beliau berjaya membawa keluar dan menjadikan istana lebih rapat dengan rakyat walaupun ketika itu keadaan sedikit terancam kerana populariti mendiang Puteri Diana," katanya lagi.

Awal hari ini media melaporkan, Ratu Elizabeth II, pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden, menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Khamis (waktu tempatan).

Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland, kata kenyataan Istana Buckingham.

Serentak pengumuman itu, bendera di United Kingdom (UK) dikibarkan separuh tiang, sementara semua jadual siaran televisyen dan radio dikemas kini, bagi menghormati kemangkatan baginda.