KUALA LUMPUR: Tindakan Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng yang didakwa menyatakan "gelombang hijau akan memusnahkan tokong" disifatkan sebagai menghasut dan menyemai perasaan negatif orang bukan Islam terhadap pemimpin politik Islam.

Jelas Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, ia merupakan kenyataan biadab dan perkauman serta sangat keji dan boleh mengancam ketenteraman awam serta menggugat keamanan negara.

"Kenyataan itu amat tidak bertanggungjawab, bersifat menghasut serta menyemai perasaan takut dan benci orang bukan Islam terhadap pimpinan serta parti-parti politik Islam yang mendukung Perlembagaan Persekutuan dan menjunjung sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.

"Kenyataan Pengerusi DAP itu yang turut dilaporkan berkata 'gelombang hijau tidak senang dengan tokong yang mereka lihat, mereka akan memusnahkannya' adalah sangat keji, terkutuk dan boleh mengancam ketenteraman awam serta menggugat keamanan negara," katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, Ahli Parlimen Machang itu menuntut permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Bagan tersebut atas kenyataan yang dianggap bersifat perkauman dan berniat jahat.

Wan Ahmad Fayhsal juga menggesa tindakan tegas diambil ke atas Lim kerana membuat kenyataan tidak bertanggungjawab berkenaan.

Armada, jelasnya, bersama Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai tunjang kepada perpaduan semua kaum di Malaysia.