KAPIT: Lebih RM77 bilion telah dibelanjakan kerajaan dalam bentuk subsidi kepada rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Buktinya, katanya, minyak peket kini dijual di pasaran pada harga RM2.50, sedangkan kerajaan menyediakan subsidi hampir RM5 sepeket.

“Pemberian subsidi ini adalah tanda kerajaan sentiasa peka akan kesusahan rakyat, terutama dalam mengharungi cabaran masa kini, terutamanya di fasa pascapandemik serta keperitan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kepenggunaan dan Pembangunan Luar Bandar Komuniti Kapit di Rumah Belaja di sini semalam.

Kata Nanta, tugas utama kementeriannya adalah untuk mengawal harga barang, justeru KPDNHEP sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan rakyat mendapat harga yang berpatutan.

"Kewujudan Pasukan Jihad Tangani Inflasi misalnya, satu inisiatif kerajaan dalam memastikan harga barang dapat dikawal dengan baik.

"Buktinya, harga minyak masak botol dapat dikurangkan dan ini membantu menjimatkan perbelanjaan isi rumah," jelasnya lagi.

Pun begitu, kesalnya, tindakan sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dengan menyeludup barangan bersubsidi begitu mengecewakan dan ini perlu ditangani bersama.

“KPDNHEP telah mewujudkan pelbagai saluran aduan dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat tentang salah laku peniaga dalam memastikan isu ini dapat dikekang,” katanya lagi.

Pada program yang sama, Nanta merasmikan Stesen Janakuasa Solar di Nanga Bening Tengah untuk membekalkan elektrik kepada tiga rumah panjang di kawasan tersebut.

Hadir sama ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang; Timbalan Residen Kapit Galong Luang dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Maurice Giri.