Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menggesa kerajaan membatalkan acara konsert kemerdekaan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku jika perhimpunan Bersih 4.0 diadakan pada waktu yang sama.

Menurut beliau, walaupun ia mungkin dilihat sebagai tidak adil kepada sesetengah pihak, namun demi keselamatan orang ramai, cadangan itu perlu dipertimbangkan.

"Melihat kepada kemungkinan berlaku perkara yang tidak diingini, saya ingin mencadangkan agar kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Multimedia mengkaji dengan teliti acara sempena sambutan kemerdekaan kali ini, terutama acara konsert hiburan.

"Walaupun secara peribadi ia tidak adil kepada yang ingin menghadiri acara ini sebagai sebahagian daripada acara kemerdekaan, namun demi keselamatan dan mengelak daripada berlaku perkara tidak diingini, saya minta kerajaan membatalkan acara konsert hiburan sempena kemerdekaan," kata beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata Bersih 4.0 yang mungkin 'bertembung' dengan program kerajaan hanya akan menyebabkan kesulitan kepada orang ramai yang ingin menyambut kemeriahan malam kemerdekaan 31 Ogos.

"Saya yakin niat Bersih ini ialah menimbulkan kemarahan rakyat kepada kerajaan. Justeru saya khuatir banyak program atau acara yang disediakan oleh pihak kerajaan akan terganggu dengan perhimpunan ini.

Adalah amat malang jika orang ramai datang bersama keluarga atau anak-anak untuk meraikan kemerdekaan negara diganggu oleh peserta Bersih," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI hari ini.

Beliau juga melihat Bersih 4.0 hanya akan mengundang masalah dan menidakkan hak masyarakat untuk menyambut Hari Kemerdekaan tanpa gangguan.

"Sepatutnya kalau betul mereka perjuangkan hak dan kebebasan maka mereka kena fikirkan hak orang awam yang lain, hak peniaga, kerana peniaga dan orang awam ada hak untuk senang berniaga dan beriadah di Kuala Lumpur tanpa gangguan apatah lagi perhimpunan ini hendak dilangsungkan ketika majoriti rakyat Malaysia ingin menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia tahun ini," katanya lagi.

Justeru katanya, walau apa pun jaminan yang diberikan pihak penganjur Bersih, beliau tidak yakin perhimpunan itu berlangsung secara aman.

"Kita sudah lihat apa yang berlaku atau terjadi pada perhimpunan Bersih sebelum ini. Justeru itu saya bimbang dengan situasi ekonomi dan keadaan politik masa kini, perhimpunan ini boleh menimbulkan keadaan yang tidak baik yang akhirnya merugikan banyak pihak dan pastinya merosakkan imej negara Malaysia," kata beliau.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan menggantikan konsert hiburan yang lazimnya menjadi acara wajib setiap kali malam kemerdekaan dengan acara lain.

Terdahulu, Penganjur Bersih 4.0 berkeras meneruskan perhimpunan itu pada 29 dan 30 Ogos seperti dirancang, walaupun permohonan bagi mendapatkan permit ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya, menolak cadangan DBKL untuk menunda perhimpunan itu ke hujung minggu berikutnya, serta perubahan lokasi lain.