Kerajaan mensasarkan peningkatan pendapatan nelayan di dalam negara dari RM1,500 sebulan sekarang kepada RM2,000 hingga RM5,000 sebulan pada 2020 melalui program akuakultur.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara ini dilihat dapat membantu nelayan menangani ketidakstabilan punca pendapatan terutamanya pada musim tengkujuh.

"Menurut kajian Jabatan Perikanan Malaysia, terdapat lebih 100,000 ribu nelayan yang berdaftar dengan 70 peratus daripada mereka ini mempunyai pendapatan lebih RM1,500 sebulan.

"Tetapi pada pendapat saya jumlah pendapatan tersebut masih sedikit dan tidak benar-benar menjamin mereka telah keluar dari kepompong kemiskinan.

"Sebab itu kerajaan memberikan jalan keluar ini kerana kita tidak mahu nelayan bergantung kepada sumber tangkapan sahaja tetapi turut meluaskan skop sumber pendapatan mereka dengan menceburi industri lain seperti ternakan ikan dalam sangkar atau ternakan ikan kolam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek Ternakan Ikan Sangkar Marin di Perairan Muara Sungai Pendas, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Shabery, kerajaan telah banyak memberikan bantuan kepada golongan nelayan namun apa yang penting katanya adalah cara untuk memastikan nelayan pada hari ini mampu terus bersaing terutamanya dalam bidang keusahawanan.

"Kalau kita lihat nelayan pada masa kini sudah mempunyai bot-bot sendiri dan hanya perlu mencari lokasi untuk memasarkan hasil tangkapan mereka, dan mereka juga tidak perlu lagi menjual hasil tangkapan mereka kepada orang tengah pada harga yang rendah.

"Kita perlu membentuk nelayan hari ini menjadi usahawan yang mampu memberikan hasil keluaran yang mempunyai harga yang kompetitif, boleh mencari pasaran, mempunyai hubungan dengan rantaian nilai lain seperti logistik dan pelanggan," jelasnya.

Untuk itu katanya, kerajaan akan terus memberikan fokus kepada nelayan-nelayan dengan memberikan bantuan-bantuan yang sewajarnya kepada mereka seperti sangkar ikan, benih-benih ikan bagi menjayakan hasrat ini.

Sementara itu, beliau berkata tinjauan di kawasan selatan Johor hari ini bertujuan melihat potensi perkembangan industri ikan ternakan di negeri ini berikutan kedudukan pusat ternakan yang hampir dengan bandar.

-- BERNAMA