NATIONAL
Kerajaan Negeri Selangor arah PBT hentikan, sita serta-merta iklan produk vape

Jamaliah berkata sebelum sebarang keputusan muktamad mengenai larangan penjualan vape diambil, satu lagi mesyuarat lanjutan akan diadakan dalam masa terdekat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghentikan dan menyita serta-merta sebarang bentuk iklan berkaitan produk rokok elektronik (vape) di negeri Selangor, sama ada di medium fizikal mahupun digital.
Ringkasan AI
- Larangan iklan vape di Selangor: Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghentikan dan menyita sebarang iklan berkaitan produk rokok elektronik (vape) di medium fizikal dan digital, berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852).
- Mesyuarat lanjutan mengenai dasar vape: Sebelum keputusan muktamad mengenai larangan penjualan vape diambil, kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat lanjutan bagi membincangkan aspek penguatkuasaan, pelesenan, perundangan serta pemantauan, terutama penjualan dalam talian.
- Kebimbangan terhadap penggunaan vape dalam kalangan remaja: Kerajaan negeri menyeru kerjasama ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil dan agensi kerajaan dalam menangani isu penggunaan vape, yang semakin membimbangkan, terutama dalam kalangan remaja lelaki berumur 13 hingga 17 tahun.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan yang turut disertai oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsuddin; wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN); pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD); serta wakil-wakil pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sementara itu, tindakan penyitaan iklan vape oleh PBT dibuat berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852), yang jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan produk merokok elektronik.
Langkah ini merupakan tindakan susulan daripada kenyataan awal Jamaliah sebelum ini yang memaklumkan Selangor akan mengadakan mesyuarat khas bersepadu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Pejabat Menteri Besar, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan agensi kerajaan Persekutuan, bagi meneliti keperluan pengharaman penjualan vape.
Beliau turut menegaskan bahawa lesen perniagaan di peringkat negeri kini tidak meliputi penjualan rokok elektronik atau cecair vape, sebaliknya hanya merangkumi peralatan elektronik secara umum.
Dalam pada itu, kerajaan negeri menyeru ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta agensi kerajaan di semua peringkat untuk bekerjasama dalam memastikan tindakan yang diambil benar-benar berkesan dan mampan.
Menurut laporan, penggunaan vape dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Laporan NHMS 2022 menunjukkan hampir 14.9 peratus remaja lelaki berumur 13 hingga 17 tahun di Malaysia adalah pengguna vape.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami